Pages

Rabu, Mei 18

AJARAN ASASI BUDDHISME

AJARAN ASASI BUDDHISME
Dr. C. T. Shen
(Ucapan yang disampaikan oleh Dr. C.T. Shen di Christ Church
Parish,  Ridgewood,  New Jersey, Amerika Syarikat pada lhb. Nov, 1978.)



Buddha bukanlah Tuhan


Rakan-rakan yang saya hormati,

Kamu semua mungkin maklum bahawa China ialah sebuah  negara di Asia.  Berapa
orangkah antara kamu yang tahu tulisan Cina bagi China? Ia ialah ‘Chung Kuo’ (____).
Sebenarnya, "Chung" bermakna tengah atau pusat, dan "Kuo" bererti negara atau kerajaan. Jadi
Chung Kuo bermaksud negara pusat. Sejak beberapa ribu tahun dahulu,  rakyat China percaya 
bahawa negara mereka merupakan pusat dunia dan maharaja mereka, yang biasa dianggap
sebagai Anak Syurga, merupakan pihak yang paling berkuasa dalam dunia. Oleh itu, mereka
yakin bahawa orang yang tinggal di luar China adalah kurang maju daripada mereka, dan raja-
raja yang berkenaan lebih rendah pangkatnya daripada Maharaja China. Pada zaman dahulu,
sesiapa  yang  mengisytiharkan  bahawa  ramai  maharaja dalam dunia ini dan ada yang lebih
kuat daripada Anak Syurga, sudah pasti kepalanya akan dipancung. 

Hanya pada awal abad kelapan belas apabila tamadun Barat dapat menembusi negera
China, barulah orang Cina sedar bahawa dalam dunia ini terdapat banyak negara serta 
maharaja-maharaja yang gagah dan berani. Orang Cina tidak lagi seperti katak di bawah
tempurung, pandangan mereka telah diperluas dan mereka bersama-sama dengan negara-
negara lain memikul tanggungjawab terhadap dunia ini. Akan tetapi, bagi orang Cina, pengakuan sedemikian itu tidak sekali-kali menyusutkan kepentingan kepala pemerintahan mereka.
Sehingga hari ini, pemimpin mereka masih  merupakan orang yang paling penting serta
berpengaruh dalam kehidupan mereka. 

Selain itu, sehingga beberapa ratus tahun dahulu, manusia masih berpendapat bahawa
matahari ialah pusat alam semesta. Akan tetapi, hari ini ahli kaji bintang memberitahu kita
bahawa sistem solar, seperti mana yang kita tahu, iaitu matahari, bumi dan planet-planet yang
lain cuma satu kumpulan kecil anggota cakerawala di pinggir sebuah yang dinamakan Milky Way,
yang mengandungi lebih daripada 100,000 juta bintang-bintang seperti matahari. Lagi pun, Milky
Way  itu hanya satu anggota yang sederhana saiznya di antara berjuta-juta galaksi dalam alam
semesta. Jadi, maklumlah kita banyaknya matahari sehingga tidak terbilang. Oleh itu, anggapan
bahawa matahari hanyalah satu, atau matahari bumi kita merupakan pusat alam semesta ialah
salah. Walaupun demikian, pengakuan hakikat ini tidak akan mengecilkan kepentingan matahari
kepada kita. Dengan kemajuan pengetahuan, matahari — sumber nyawa dan tenaga bagi umat
manusia — telah pun menjadi lebih penting dan rapat. Secara langsung ia mempengaruhi
kehidupan kita.

Kebanyakan agama yang utama, termasuk  agama Kristian, mengajar konsep tauhid.
Bahkan setengah-setengah agama mendakwa bahawa Tuhan mereka adalah Tuhan sebenar
dan Tuhan-Tuhan yang disembah oleh agama-agama lain adalah palsu. Dalam Buddhisme,
ajarannya berlainan. Biarlah saya mengemukakan serba sedikit latar-belakang sejarahnya.

Lebih daripada 2500 tahun dahulu di suatu tempat yang sekarang dikenali sebagai 
Nepal, di kaki bukit Gunung-Gunung Himalaya terdapat seorang putera yang bernama
Siddhartha Gautama. Pada umur 30 tahun, Baginda meninggalkan istananya kerana
kesedarannya terhadap penderitaan manusia. Baginda menghentikan kehidupan yang serba
mewah dan selama enam tahun mempraktikkan semua cara pertapaan untuk mencari jalan
penyelamatan umat manusia daripada penderitaan. Akhirnya, dengan menggunakan cara
renungan celik akal  (insight  contemplation) persendiriannya, Baginda telah mencapai
Pencerahan  (Enlightenment). Baginda disanjung sebagai "Buddha Shakyamuni" selepas itu.
“Buddha" ialah satu gelaran untuk seseorang yang telah mencapai pencerahan lengkap, iaitu
seseorang yang mencapai kearifan sempurna  (perfect  wisdom) dan belas kasihan sempurna
(perfect  compassion). Baginda lalu mengembara ke merata-rata tempat di benua India dan
mengajar penganut-penganutnya serta orang ramai selama 45 tahun sebelum Baginda wafat
pada usia 80 tahun.

Ketika  mencapai  pencerahan,  Baginda sedar bahawa alam semesta adalah tidak
terhad, terdapat banyak lagi planet yang lain seperti bumi, terdapat banyak lagi Tuhan yang lain 
yang boleh diperbandingkan dengan Tuhan yang maha kuasa yang disembah oleh umat
manusia pada zamannya. 

Sila ambil perhatian bahawa sungguhpun Buddha mendapat tahu akan wujudnya banyak
Tuhan di seluruh alam semesta, Baginda tidak pernah cuba mengecilkan kepentingan Tuhan
yang disembah oleh rakyat pada zamannya. Baginda cuma menyatakan hal yang benar, dan 
kebenaran itu tidak menjejaskan kepentingan satu-satu Tuhan tertentu kepada satu-satu
kumpulan orang tertentu yang menyembah Tuhan itu kerana Tuhan itu masih merupakan
pengaruh yang paling terus-menerus dan rapat kepada kumpulan orang yang berkenaan itu.

 Ini serupa dengan perihal orang Cina menjumpai kewujudan ramai maharaja di dunia. 
Hal ini tidak menyusutkan kepentingan kerajaan China kepada mereka. Seumpamanya, hakikat
bahawa dalam alam semesta kita terdapat banyak matahari tidak akan mengecilkan peri
mustahaknya matahari bagi bumi kita sebagai satu sumber cahaya, haba dan nyawa.

Inilah perkara pertama yang saya ingin sampaikan kepada anda semua. Adalah benar
bahawa terdapat Tuhan-Tuhan yang banyak sekali dalam alam semesta, tetapi kebenaran itu
tidak sekalipun mengecilkan kepentingan Tuhan yang disembah oleh gereja ini. Sebenarnya, seorang Buddhis yang betul-betul faham akan ajaran Buddha harus menghormati semua Tuhan
yang disembah oleh umat manusia. Ini dapat menerangkan fakta sejarah bahawa peperangan
tidak pernah berlaku antara penganut-penganut Buddhis dengan pengikut-pengikut agama yang 
lain.  Buddhisme  tidak  mempunyai  satu "kedaulatan keagamaan". Buddha bukanlah Tuhan.

Perkara kedua yang saya ingin sebutkan ialah menurut ajaran Buddha, Tuhan-Tuhan 
mungkin amat gagah berbanding dengan manusia, akan tetapi mereka juga tidak sunyi daripada
penderitaan dan boleh menjadi marah. Tuhan  mungkin dapat hidup panjang dan ini
menerangkan mengapa banyak agama mempercayai bahawa Tuhan adalah abadi. Tetapi
menurut Buddha, Tuhan yang maha kuasa yang disembah oleh penduduk-penduduk India purba
masih tertakluk kepada kematian dan kelahiran semula (rebirth). Jadi, Tuhan tidak boleh digelar
sebagai Buddha, yang telah bebas daripada samsara (pusingan kematian dan kelahiran semula
yang tidak terputus) ketika mencapai pencerahan.

Perkara ketiga dan yang paling mencabarkan yang dijumpai oleh Buddha semasa
pencerahannya ialah setiap umat manusia boleh menjadi Buddha. Buddha menjumpai bahawa
setiap umat manusia mempunyai kearifan yang sama seperti Baginda, tetapi kearifan itutetah
disuramkan oleh kejahilan (avidya) dan tidak dapat mendedahkan diri dengan senangnya.

 Harus ditegaskan bahawa apabila saya kata setiap umat manusia, saya juga bermaksud
anda semua yang berada di sini boleh menjadi Buddha. Ini adalah salah satu daripada ajaran
asasi Buddhisme. Dalam perkataan  lain, setiap orang mempunyai keupayaan bakal untuk 
mencapai kearifan lengkap dan belas kasihan lengkap.

Sekarang, sebelum saya menerangkan bagaimana seseorang itu boleh menjadi Buddha,
biarlah saya sampaikan dua konsep asasi dalam Buddhisme, iaitu samsara dan karma. Kedua-
dua perkataan itu ialah bahasa Sanskrit, sejenis bahasa purba yang digunakan di India. Samsara
adalah satu aspek alam semesta yang tidak dapat dikesan oleh mata manusia. la ialah pusingan
kematian dan kelahiran semula bagi satu makhluk. Buddhisme mengajar bahawa kelahiran dan
kematian sesuatu makhluk pada masa hayat sekarang hanya merupakan sebahagian daripada
satu rantai kehidupan yang tidak kehabisan oleh makhluk itu. Kematian sesuatu makhluk tidak
bererti penamatan pusingan ini. 

Buddhisme selanjutnya mengajar bahawa terdapat lima jenis bentuk hidup  (life  forms)
atau perwujudan  (existence) di mana satu makhluk boleh dilahirkan semula. Lima jenis
perwujudan ini ialah penghuni syurga (iaitu  Tuhan-Tuhan), manusia, binatang, hantu dan
penghuni neraka. Selepas kematian, seorang manusia akan dilahirkan semula ke dalam
perwujudan yang lain. Beliau boleh dilahirkan semula sebagai seorang manusia atau barangkali,
penghuni di syurga, binatang, hantu atau penghuni di neraka. Selepas matinya seorang manusia,
dia akan dilahirkan semula dalam salah satu bentuk perwujudan ini. Jadi, seseorang manusia
juga mempunyai kesempatan untuk dilahirkan semula sebagai Tuhan di dalam syurga.
Tambahan pula, penghuni di neraka boleh juga dilahirkan semula sebagai binatang, manusia
dan lain-lain. Penghuni di syurga boleh juga mati dan dilahirkan semula sebagai manusia,
penghuni di neraka dan sebagainya. Perubahan  bentuk perwujudan ini berjalan terus dengan
tidak kehabisan kecuali atau sehingga rantai ini putus. Ini berlaku apabila konsep kelahiran dan
kematian ini tidak lagi bermakna kepada makhluk berkenaan itu. Menurut Buddhisme, ini berlaku
apabila seseorang itu mencapai pencerahan. Ketika itu, konsep kelahiran dan kematian tidak
berkaitan lagi. Pencapaian ketiadaan kelahiran dan kematian ini dipanggil  nirvana, satu
perkataan yang popular dalam Sanskrit. Seseorang yang mencapai darjat nirvana memutuskan
rantai samsara dan kelahiran semula dirinya dalam mana-mana bentuk perwujudan itu. Namun
begitu, ini tidak bermakna pembasmian  (extinction). Bukan Buddha Shakyamuni sahaja yang
telah mencapai nirvana, malah ramai penganutnya juga dapat mencapai nirvana.

Soalan yang selanjutnya ialah siapa atau apakah yang menyebabkan  samsara? Siapa 
atau apakah yang menentukan sama ada sesuatu makhluk dalam kehidupannya yang akan
datang berada di syurga atau neraka, atau mengambil bentuk manusia? Satu soalan lagi yang hampir serupa boleh juga ditanya: Siapa atau apakah yang menentukan bahawa penduduk-
penduduk di bumi, sungguhpun manusia amat berbeza-beza dari segi rupa, sifat, kekayaan,
kepanjangan hidup, kesihatan, nasib dan lain-lain? Malahan adalah lebih menarik lagi untuk
memperhatikan sejauh mana keadaan-keadaan seseorang itu yang dilahirkan dapat 
mempengaruhi  destinasinya.  Bangsa apakah, negara manakah, warna kulit apakah, ibu bapa
jenis apakah - semua faktor ini menyebabkan perbezaan yang besar. Sekarang, siapa atau
apakah yang menentukan pilihan-pilihan ini? Ada orang yang mengatakan bahawa semua ini
cuma kebetulan atau itulah takdir Tuhan. Tetapi bukankah lebih logik jika katakan bahawa
sesuatu yang berlaku sebelum kelahiran seseorang itulah yang menyebabkan semua kesan-
kesan ini? Jika seseorang bayi tidak mempunyai masa hidup yang lalu, jadi atas alasan-alasan
apakah Tuhan memutuskan sama ada bayi itu akan dianugerahkan atau dihukum dengan
kelahirannya dalam keadaan-keadaan yang begitu jauh bezanya? Menurut Buddhisme, itu
bukanlah kebetulan, atau pun takdir Tuhan. Sebenarnya, tindak-tanduk seseorang itu sendiri
yang akan menentukan takdirnya sendiri. Oleh sebab Buddhisme mengajar tentang masa hidup
yang lalu, sekarang dan juga yang akan datang, perbuatan dahulu yang meliputi semua aksi
yang telah dilakukan pada semua hidup lalu mempunyai pengaruh yang terus-menerus ke atas
hidup seseorang buat sekarang dan juga pada masa akan datang. Harus ditunjukkan bahawa
apabila  saya  kata  perbuatan  dahulu,  ia  mengandungi  perbuatan sekarang sebab "kini" (the
presence) hanya merupakan satu saat yang tidak kekal. Segera sesudah kita kata "Ini adalah
kini", ia sudah jadi yang dahulu. 

Hukum ini, yang mengatakan bahawa tingkah-laku seseorang itu yang menentukan
takdirnya sendiri, dipanggil  karma. Dalam kamus  Random House, karma ditakrifkan sebagai
"perbuatan-perbuatan yang akan membawakan keputusan-keputusan yang tidak dapat
dielakkan kepada seseorang, sama ada baik atau buruk, sama ada dalam kehidupan sekarang
atau dalam satu kelahiran semula." Saya ingin meluaskan takrif ini dengan mengatakan bahawa
karma ialah satu perlakuan atau kumpulan perlakuan oleh sesuatu makhluk atau satu kumpulan
makhluk yang menghasilkan kesan-kesan. Kesan-kesan ini, yang mungkin baik, buruk, atau
neutral, menentukan masa depan makhluk itu atau kumpulan makhluk itu.  Karma  baik
menghasilkan kesan-kesan baik, karma buruk menghasilkan kesan-kesan buruk. Di sini, kesan
baik atau buruk yang dihasilkan oleh karma baik atau buruk hanya adalah satu fenomena
semula jadi yang dikuasai oleh hukum-hukum semula jadi yang bertindak secara automatik
dengan keadilan lengkap, dan bukanlah satu pengadilan yang dibuat oleh satu kuasa maha
tinggi seperti Tuhan. Tambahan pula, kebaikan dan keburukan yang tersebut di sini tidak
ditafsirkan mengikut sebarang kod atau undang-undang buatan manusia, kecuali kod atau
undang-undang demikian mematuhi hukum-hukum semula jadi. Sebagai contoh, apabila
demokrasi mula-mula diciptakan, kaum wanita tidak mempunyai hak mengundi. Pada masa itu,
wanita yang patuh dengan kedudukan begitu dianggap "baik" dan mereka yang menentanginya
dianggap "buruk". Namun demikian, pengadilan seperti itu adalah tidak betul. Hukuman semula
jadi adalah semua umat manusia adalah sama,  dan oleh itu, sistem yang memberikan kaum
wanita hak mengundi yang sama dengan lelaki adalah satu sistem yang memang adil. Jadi,
orang yang menentang sistem mengundi yang tidak adil itu sebenarnya ialah orang yang baik.

Hukum karma ini, ataupun "sebab dan kesan"  (cause and effect),  adalah sebegitu kuat
sehingga ia menentukan semua perkara dalam alam semesta kecuali, menurut Buddhisme,
seseorang yang telah mencapai pencerahan.  Ketika mencapai pencerahan, sebab dan kesan
ini hilang keistimewaannya, sama seperti samsara yang berakhir dengan pencerahan.

Dengan adanya pengetahuan tentang  samsara  dan karma, anda mungkin berminat
mempelajari daripada Buddhisme bahawa anda, sebagai umat manusia, sesungguhnya
mempunyai  kesempatan yang terbaik untuk menjadi  Buddha. Perkara ini mungkin lebih mudah
difahami sekiranya saya katakan bahawa penghuni di neraka, hantu dan binatang mempunyai
kesempatan yang kurang untuk memupuk  diri supaya menjadi Buddha.  Tetapi mengapakah 
bukan penghuni di syurga yang memang dianggap berada di peringkat yang lebih tinggi
daripada manusia? Jawapannya ialah kehidupan di syurga terlalu mewah dengan berbagai-
bagai kesenangan. Penghuni di syurga begitu sibuk untuk menikmati hidup, tidak mempunyai kecenderungan untuk pemupukan selanjutnya. Hanya manusia yang mempunyai keupayaan
otak untuk menerima ajaran, mempunyai masa untuk mengamalkan ajaran, pernah mengalami
kesengsaraan dan kedukaan yang merangsangkannya untuk mencari satu jalan bagi
membasmikan  penderitaan-penderitaan dan lebih-lebih lagi, manusia yang mempunyai
kesempatan untuk mendengar ajaran Buddha,  mempunyai keupayaan untuk membebaskan
dirinya dan menjadi Buddha. 

Oleh itu, haruslah kita mengambil tahu bahawa Buddhisme tidak menggalakkan kelahiran
semula dalam syurga, tetapi menggalakkan orang mengikut teladan Buddha Shakyamuni, Guru
Agung dan berusaha memupuk diri dalam hidup ini untuk menjadi Buddha.

Anda mungkin dapat hidup dengan senang-lenang sekarang. Kebanyakan orang yang
tinggal di Amerika Syarikat yang besar ini menikmati kehidupan kebendaan yang mewah, tetapi
anda jangan lupa bahawa terdapat banyak penderitaan yang manusia tidak dapat elakkan.
Malah, ramai orang di dunia ini sesungguhnya sedang hidup dalam satu keadaan yang tidak
berapa lebih baik daripada neraka, seperti mana yang dijelaskan oleh banyak agama.

Seperti yang saya sebutkan tadi, penderitaan merupakan isyarat untuk mendorongkan
seseorang mengejar kebebasan, jadi biarlah kita memeriksa berbagai-bagai penderitaan yang
dialami oleh umat manusia. Terdapat lapan jenis penderitaan asas seperti yang difirmankan oleh
Buddha 2500 tahun dahulu. Pada masa itu di India, keselesaan kebendaan sangat kurang
berbanding dengan hari ini dan penderitaan manusia adalah lebih nyata. Memang aneh bahawa
kelapan-lapan jenis penderitaan yang asas ini nampaknya tidak banyak berubah dalam tempoh
yang begitu panjang ini. Penderitaan-penderitaan itu ialah:

1. penderitaan kerana kelahiran
2. penderitaan kerana tua
3. penderitaan kerana penyakit
4. penderitaan kerana kematian
5. penderitaan kerana pemisahan dengan orang-orang yang dikasihi atau benda-benda
yang digemari
6. penderitaan kerana penemuan yang tidak diingini dengan seseorang atau sesuatu benda                                
7. penderitaan kerana penyangkalan hasrat seseorang
8. penderitaan kerana penguatan lima agregat, atau dengan lain perkataan yang lebih
mudah, penguatan kelakuan manusia seperti kebencian, perasaan cemburu dan lain-
lain. 
 
Adalah dikesalkan bahawa dengan semua kemajuan dalam peradaban manusia yang
telah membawa manusia ke satu zaman di mana wujudnya kemungkinan menjelajahi ke lain-lain
planet, manusia masih tidak sanggup mengurangkan atau menghapuskan penderitaan-
penderitaan asasi itu. Anda mungkin bersetuju dengan saya bahawa kadangkala penderitaan-
penderitaan ini dihebatkan lagi oleh pertambahan kelajuan hidup dan pertambahan godaan
kebendaan. Ini lebih ternyata dalam kes-kes empat jenis penderitaan yang terakhir.

Kesedaran dan pengakuan tentang penderitaan manusia adalah satu langkah yang
penting dalam Buddhisme.  la biasanya dirujukkan sebagai Kebenaran Agung Yang Pertama
dalam Empat Kebenaran Agung. Tiga Kebenaran Agung yang lain ialah:

Hasrat dan idaman adalah sebab-sebab penderitaan manusia;
Penderitaan boleh dihapuskan; dan
Cara-cara untuk menghapuskan penderitaan.

Saya sudah berikan anda terlalu banyak untuk difahami dan masa tidak mengizinkan
saya untuk berbincang secara terperinci mengenai Empat Kebenaran Agung ini. Oleh demikian,
saya hanya akan memberi anda penerangan secara ringkas berkenaan dengan cara-cara untuk
menghapuskan penderitaan, iaitu Kebenaran Agung Yang Keempat. Ini adalah kerana terdapat beberapa perkara penting lagi yang ingin saya memperkenalkan kepada anda berhubung
dengan jalan yang harus diambil untuk menjadi Buddha.

Terdapat lapan komponen yang membentuk cara-cara untuk menghapuskan
penderitaan. Biasanya ia dipanggil Lapan Jalan Betul dan ia merupakan prinsip-prinsip panduan
dalam hidup. Lapan Jalan Betul ialah:

Pandangan Betul  (Samyagbuddhi)
Fikiran Betul   (Samyaksarnkalpa)
Ucapan Betul   (Samyagvak)
Perbuatan Betul   (Samyakkarmanta)
Pekerjaan Betul   (Samyagajivah)
Daya Upaya Betul  (Samyagvyayama)
Peringatan Betul  (Samyaksmrti)
Samadhi Betul   (Samyaksamadhi)

Perkataan yang paling penting di sini ialah "Betul". Untuk memudahkan kefahaman
berkaitan dengan aplikasinya dalam kehidupan harian, saya mentafsirkan perkataan "Betul"
sebagai: (1) tidak melukai orang lain, kalau boleh, menolong orang lain, (2) mengerti hukum
sebab dan kesan iaitu karma dan mematuhinya dengan teliti dan (3) mengerti bahawa badan
kamu ialah alat kenderaan yang harus kamu sandarkan untuk melayari dari pantai penderitaan ini
ke pantai sebelah (yang bebas daripada penderitaan) dan oleh itu, kamu mesti menjaganya.

Jika seseorang boleh hidup berasaskan kepada prinsip-prinsip panduan tersebut, idaman
akan berkurang dan penderitaan akan menyusut.

Sila ambil perhatian bahawa ajaran Buddha memberi perhatian yang amat berat kepada
masyarakat dan memerlukan disiplin diri yang tinggi darjahnya daripada penganut-penganutnya.
Baginda menubuhkan  Sangha — satu kumpulan biksu yang teratur supaya mereka dapat
menjalankan cara hidup yang betul. Sangha itu menunjukkan satu contoh bagaimana sebab-
sebab penderitaan manusia dapat dikawal, dikurangkan dan akhirnya dihapuskan. Walaupun
dalam nama agama atau Buddhisme, sebarang  kegiatan atau cara hidup yang mengganggu
masyarakat atau menimbulkan kerusuhan bagi orang lain tidak harus dianggap sebagai
Buddhisme sejati kerana kegiatan sedemikian adalah bertentangan dengan ajaran Buddha.

Apabila anda mengkaji Buddhisme, anda akan dapat tahu bahawa Buddha biasanya
mengajar dalam dua peringkat, bergantung kepada peringkat kefahaman pendengarnya. Satu
peringkat mungkin boleh disebut sebagai peringkat selepas pencerahan dan yang satu lagi
sebagai peringkat duniawi (mundane).

Adakah sesiapa di sini yang mempunyai pengalaman mengenai pencerahan  atau  yang
faham  akan  ajaran  Buddha di  peringkat pencerahan? Saya tidak tahu. Saya belum lagi. Saya
belum mempunyai pengalaman yang benar mengenai pencerahan. 

Biarlah saya beritahu kamu satu cerita pendek :

Pada suatu hari, seekor ibu katak pulang ke kolam dari  darat dan mula memberitahu
kepada berudu-berudu kecilnya yang tidak pernah keluar dari air tentang sinaran matahari yang
hangat dan angin sepoi dan bagaimana rasa keistimewaannya. Berudu-berudu itu tidak faham
dan meminta ibu mereka menerangkannya. Ibu katak cuba menghuraikan pengalamannya
walau dengan apa cara sekalipun, namun tidaklah berjaya. Sehingga satu hari kelak apabila kaki
berudu-berudu telah besar dan lompat keluar dari air ke atas tanah, barulah mereka mendapati:
"Oh, itulah yang ibu kami maksudkan."

Jadi apa yang saya ceritakan kepada anda pada hari ini adalah untuk memperkenalkan
anda kepada peringkat selepas pencerahan harus dianggap sebagai seekor berudu mengulangi cerita ibu katak kepada berudu yang lain tentang sinaran matahari hangat dan angin sepoi yang
ia alami di atas tanah.

Ketika pencerahan, Buddha menyedari bahawa semua fenomena dan idea-idea adalah
tidak benar dan tidak kekal, ia hanya muncul kerana persepsi manusia yang tidak betul dan tidak
lengkap tentang alam semesta. Buddha menyedari sunyata.

Sunyata  adalah  satu  pra syarat  bagi  pencapaian  kearifan sempurna. Tetapi apakah
itu sunyata?

Sunyata  adalah satu perkataan Sanskrit yang diterjemahkan sebagai "kekosongan"
(emptiness). Tetapi saya mesti menegaskan bahawa  sunyata  bukanlah "ketiadaan" 
(nothingness) ataupun membawa maksud kosong  (void).  Sunyata  adalah satu istilah yang
digunakan oleh orang yang telah mencapai pencerahan untuk sifat benar alam semesta itu.
Berhubung dengan hal ini, saya akan membincangkannya dari dua segi:

Pertama, biarlah saya bertanya: Adakah sebarang benda dalam ruang terbuka di
hadapan saya? Berapa ratus tahun dahulu barangkali semua orang menjawab: "Tiada. la adalah
kosong." Hari ini, anda mungkin masih menganggapkannya sebagai satu ruang kosong tetapi
setengah-setengah daripada anda mungkin kata bahawa terdapat udara dan debu dalamnya.
Seseorang yang mengkaji kimia mungkin mengambil satu langkah yang lebih lanjut dan
mengatakan bahawa ia mengandungi oksigen, nitrogen dan barangkali kuman. Seseorang pakar
fizik barangkali akan mengatakan ia mengandungi lebih banyak daripada itu, merujuk kepada
sinar kosmik, gelombang radio dan banyak benda yang lain yang hanya dapat difahami oleh ahli
sains. Sekarang, apakah makna semua ini? Ini bermakna bahawa ruang terbuka ini adalah lebih
jauh daripada kosong. Kita mendapat-satu kesimpulan yang salah dengan mengatakan ruang ini
adalah kosong kerana ia adalah penuh dengan benda dan kegiatan yang mata dan telinga kita
tidak dapat kesan.

Kedua,  biarlah saya bertanya:  Bagaimanakah dengan badan fizikal saya? Adakah anda
katakan ianya kosong? Besar kemungkinan anda akan berkata "Tidak. Ini adalah satu bahan
pepejal." Adakah jawapan itu betul? Anda tentu pernah melihat foto X-ray. Jika badan saya
terdedah kepada X-ray, apakah yang anda dapat  lihat dalam foto? Anda tidak dapat lagi
melihat badan saya, dan apa yang kamu lihat ialah satu struktur tulang manusia yang tidak
banyak bezanya dengan seekor monyet besar. Sekali lagi jika badan saya diperiksa di bawah
satu mikroskop besar, apa akan terjadi? Memang ia tidak lagi menjadi bentuk badan dan apa
yang dapat dilihat mungkin merupakan satu  rantai molekul yang kompleks. Jika kita
membesarkan lagi hingga ke peringkat atom, badan-badan  yang boleh dikesan mungkin
sangat sedikit kecuali untuk ruang kosong yang luas. Secara teori, tiap-tiap benda boleh
dianalisis sehingga akarnya sebagai tenaga dan tenaga adalah tanpa bentuk dan tidak dapat
dilihat, ia adalah kosong.

Betapa menariknya hal ini!  Apabila seseorang mengatakan ruang lapang ini kosong,
sebenarnya ia penuh dengan benda. Apabila seseorang itu mengatakan badan saya adalah
pepejal, ianya kosong. 

Contoh lain barangkali lebih mudah difahami. Kita sebagai manusia mengatakan udara
adalah kosong dan kita boleh bergerak dengan bebas dalamnya, tetapi bagi kita air bukan
kosong. Akan tetapi sesekor ikan mungkin langsung tidak menganggap sedemikian. Seekor
ikan akan menganggap air kosong manakala tidak pada udara kerana dalam air, ia boleh
bergerak dengan bebas. Sebenarnya bagi seekor ikan udara mungkin adalah seperti batu. la
tidak dapat bergerak di dalamnya walau satu inci pun.

Saya dapat memberi anda banyak contoh lagi yang kesemuanya membawa kepada
kesimpulan bahawa mata, telinga dan lain-lain organ deria kita tidak dapat memberikan kita satu 
pandangan lengkap tentang alam semesta. Hasil daripada penerangan yang tidak lengkap boleh  membawa kepada satu pandangan yang salah. Malangnya kesemua pengetahuan kita dan
tindakan kita seterusnya adalah semata-mata berdasarkan penerangan yang tidak lengkap atau
salah yang dipersepsi oleh organ deria kita semenjak kita dilahirkan.

Secara saintifik, spektrum elektro magnetik dengan jelasnya memberitahu bahawa mata 
manusia hanya boleh mengesan satu bahagian yang sangat kecil daripada spektrum —
gelombang cahaya. Mata kita tidak dapat lihat benda jauh atau benda mikroskopik.

Bukan sahaja mata kita tidak sempurna. Ikan julung-julung dapat mengesani bunyi pada
frekuensi setinggi 150 000 saikel setiap saat. Anjing dapat dengar bunyi pada frekuensi antara 15
hingga 50 000 saikel setiap saat. Tetapi manusia hanya dapat mengesan bunyi pada frekuensi
antara 20 hingga 20 000 saikel setiap saat.

Yang lebih buruk ialah sifat degil otak kita yang tidak mahu mengakui fakta bahawa deria
kita boleh silap. Ini kerana penerangan yang terus dan tetap diberi kepada otak oleh organ deria
begitu tidak lengkap. Jadi, walaupun anda faham apa yang saya sebutkan sekarang, pada saat
yang berikut anda mungkin akan terlupa atau menolak dengan sepenuhnya kerana mata dan
telinga anda memberi anda satu gambaran yang tidak sama sekali sedangkan otak anda telah
biasa menerimanya sebagai benar.
 
Jadi adalah mustahak untuk menunjukkan bahawa kefahaman sahaja adalah tidak
mencukupi untuk mengatasi penerimaan terbiasa bagi pandangan dunia yang tidak lengkap dan
silap ini. Pencerahan adalah diperlukan. Dengan pencerahan, anda memandang secara
langsung, jelas dan terus-menerus bahawa alam semesta adalah kosong; bahawa semua
fenomena dan idea-idea cuma satu mimpi atau seperti awan terapung di langit yang datang dan
pergi tanpa meninggalkan sebarang kesan. Kamu pada waktu itu tidak dipengaruhi oleh apa pun
fenomena yang timbul. Sifat fenomena-fenomena itu adalah kosong. lanya tidak benar dan tidak
kekal. Ini adalah kearifan yang agung.

Bagaimanakah seseorang boleh mencapai pencerahan? Buddha memberitahu tentang
pengalamannya bahawa Baginda telah mencapai pencerahan melalui konsentrasi betul dan
kontemplasi betul. Anda mungkin masih ingat cerita tentang ibu katak dan berudunya yang saya
beritahu anda beberapa minit yang lalu. Dalam perkara ini, saya cuma seperti berudu dan
berasa terlalu susah untuk terangkan kepada anda secara lebih lanjutnya berkenaan dengan
pengalaman pencerahan. Saya harus berhenti di sini dan meninjau perkara lain yang anda harus
tahu untuk menjadi Buddha, iaitu penyempurnaan perasaan belas kasihan agung.

Untuk mengatakan tentang perasaan belas kasihan agung, saya harus  memperkenalkan 
kepada anda satu istilah penting dalam Buddhisme, iaitu  bodhisattva.  Bodhi  bermakna
pencerahan atau mencerahkan, dan  sattva  bermakna makhluk. Jadi  bodhisattva  adalah satu
makhluk yang telah mencapai pencerahan atau yang menyebabkan makhluk-makhluk lain untuk 
mencapai  pencerahan.  Bodhisattva adalah satu makhluk yang sedang menuju ke arah menjadi
Buddha dan menolong makhluk-makhluk yang lain mencapai pencerahan.

 Adalah menarik hati untuk mengetahui bahawa bodhisattva itu mungkin adalah seorang
rahib, biarawan, atau orang biasa seperti kita semua. Pada hakikatnya kebanyakan bodhisattva
dalam sejarah Buddhisme adalah orang yang belum meninggalkan keluarganya. Ini adalah
kerana untuk melakukan  tugas-tugas wajib seseorang  bodhisattva, beliau harus berdamping
rapat dengan  penduduk-penduduk lain dalam sesuatu masyarakat. 
 Sifat yang paling penting kepada seorang  bodhisattva  ialah perasaan belas kasihan.
Bodhisattva Avalokitesvara atau Kuan Yin di China atau Jepun adalah satu wakil simbolik bagi
kompassion agung. Ikrar agung bagi  bodhisattva  ini ialah membebaskan semua makhluk
daripada sebarang ketakutan. Biarlah saya memetik dua ayat daripada suatu puisi masyhur:

'Saya  akan  pergi  ke  beribu-ribu  tempat  bagi  menunaikan  beribu-ribu  doa.
Dalam  lautan  penderitaan  yang  terbentang  luas, saya  akan  sentiasa 
berkhidmat  sebagai sebuah feri untuk menyelamatkan makhluk-makhluk.'

Dalam puisi ini anda dapat tahu:

1. tidak adanya pembatasan geografi; 
2. tidak adanya had terhadap bilangan doa yang bodhisattva akan balas; 
3. tidak adanya pembatasan terhadap jenis doa yang akan dibalas; 
4. tidak adanya diskriminasi terhadap siapa yang membuat doa itu; 
5. tidak adanya gangguan dalam perkhidmatan, ia berterusan siang dan malam; 
6. tidak mengharapkan sebarang ganjaran walau dalam apa bentuk sekali pun.

Ini adalah kompassion agung yang seseorang harus belajar.


Setiap umat manusia boleh menjadi Buddha.   Kuan Yin: Wakil Simbolik bagi kompassion agung.

Dalam hal ini anda mungkin anggap bahawa ia agak sama dengan 'cinta agung' yang
diajar oleh Yesus Kristus. Dan memang begitu, kerana mengikut taksiran Buddhisme, Yesus
Kristus memang seorang  bodhisattva  yang agung.  Yesus Kristus sering mengajar penganut-
penganutnya supaya menyerah diri dengan sepenuhnya dan berkhidmat untuk orang lain. Malah
beliau sendiri memberi nyawanya. Jelaslah, perbuatan memberi adalah satu penunjuk
kompassion. Dalam Buddhisme, ini dipanggil Dana, iaitu satu perkataan Sanskrit. Terdapat tiga
jenis dana:

1.  dana kebendaan  —  memberi barang-barang kepada orang yang miskin. 
2.  dana  pengetahuan   —   menyampaikan ilmu yang patut kepada orang lain untuk   
membebaskan mereka daripada penderitaan akibat daripada kejahilan  
3.  dana  ketidaktakutan  — menolong orang lain untuk membebaskan mereka daripada
sebarang ketakutan.
 Bagi Buddha, dana adalah satu perbuatan spontan yang timbul daripada kompassion agung
tanpa syarat, tanpa diskriminasi dan tanpa pembatasan. Bagi kita orang biasa, dana merupakan
amalan kompassion agung yang paling mustahak yang akan membimbing kita menuju ke
peringkat Buddha.

Sekarang anda mungkin ingin beritahu saya: "ltu baik dan menarik. Tetapi bolehkah kamu
memberitahu kami beberapa idea praktikal supaya kami dapat amal untuk menjadikan hidup kita
lebih tenteram dan membolehkan kita tidur dengan lebih nyenyak?" 

Saya berasa gembira untuk berbuat demikian. Biarlah saya beritahu anda sebuah cerita.
Tajuknya ialah 'Mengapakah kamu masih memikul gadis itu di atas belakang badan kamu?' 

Cerita ini berlaku di China kira-kira 1000 tahun dahulu. Untuk pemahaman yang lebih
sempurna, saya akan beritahu anda sedikit latar belakangnya. Pada masa ketika cerita ini
berlaku, perhubungan sosial antara lelaki dan perempuan di China sangat ketat. Anda mungkin
pernah dengar bahawa gadis-gadis jarang keluar dari rumah mereka sebelum berkahwin.
Pembatasan sedemikian terutamanya diamalkan di kalangan Buddhis. Menurut salah satu
mazhab Buddhisme pada waktu itu di China, rahib-rahib Buddha dilarang gelak atau senyum
kepada kaum perempuan. Mereka dilarang menyentuh badan wanita atau mendedahkan dada
atau kaki mereka di hadapan seorang wanita.

Kalau tidak, mereka pun sangatlah berdosa. Cerita itu adalah seperti berikut:
 
       Terdapat dua orang rahib yang berusia pertengahan umur, kedua-dua telah pun lama
menjalani latihan dan pengajian di dalam sebuah biara kepunyaan mazhab Buddhisme tersebut.
Oleh demikian mereka mengetahui dengan mendalam peraturan-peraturan yang tersebut di atas.
Pada suatu hari, mereka sedang mengembara dan sampai ke tepi sebatang sungai pada lewat
petang. Di sana tidak terdapat jambatan ataupun feri, tetapi sungai itu cetek dan mereka yakin
dengan senangnya mereka dapat mengharungi sungai itu. Tiba-tiba mereka nampak seorang
gadis muda yang seakan-akan cuba menyeberangi sungai itu juga, tetapi ragu-ragu untuk
melangkah ke dalam air. Beliau mengalami kesusahan. Jadi, salah seorang daripada rahib
tersebut pun mendekatinya dan cuba menolongnya menyeberangi sungai itu dengan memikulnya
di atas belakang badannya. Rahib yang kedua sangatlah terkejut melihat apa yang dilakukan
oleh saudaranya. Dengan perasaan bingung dan kecewa, dia berasa sangat sedih ketika dia
mengikut mereka ke tebing seberang sungai. Rahib pertama menurunkan gadis itu yang 
mengucapkan terima kasih kepadanya dan meninggalkan tempat itu.  Dua orang rahib tersebut
meneruskan perjalanan mereka. Semasa berjalan, rahib yang kedua itu tidak dapat melupakan
peristiwa tadi. Beliau keliru bagaimanakah saudaranya boleh melanggar peraturan yang mereka
patuhi selama itu. Dosa yang tidak boleh diampuni telah dia lakukan, dan lebih-lebih lagi di
hadapan orang lain! Mungkinkah dia melanggar peraturan-peraturan penting yang lain apabila
dia seorang diri? Apabila hari hampir gelap mereka pun sampai di sebuah biara terbengkalai.
Mereka berasa letih dan memasuki biara itu lalu berehat. Rahib pertama dengan serta-merta
tidur tetapi rahib kedua tidak dapat tidur. Mula-mulanya beliau berasa kecewa, sesudah itu beliau
berasa kasihan terhadap saudaranya kerana melakukan dosa yang begitu serius itu. Beliau cuba
berdoa untuk mengurangkan dosa saudaranya akan tetapi dia mengkhayalkan semua jenis
perkara. Beliau terkatung-katung kerana runsing dan tidak dapat tidur. Hampir waktu fajar beliau
terdengar bunyi dengkur saudaranya yang sedang tidur nyenyak, dan beliau menjadi sangat
marah. Beliau membuat satu bunyi bising untuk membangunkan saudaranya. "Apakah terjadi
kepada kamu, abang? Mengapa kamu tidak tidur?" Dengan marah rahib kedua menjawab,
“Tahukah apa yang telah kamu lakukan? Manakah peraturan kamu? Manakah boleh kamu
membawa seorang gadis di atas belakang badan kamu dan mengharungi sungai tadi? Saya tidak
dapat tidur kerana saya sedang berdoa dengan sedaya-upaya supaya dosa kamu dikurangkan
tetapi kamu langsung tidak peduli dan tidur dengan nyenyak sahaja." Rahib pertama pun
menjawab, "Oh, kamu bercakap tentang gadis itu. Saya telah menurunkannya segera sesudah
kita menyeberangi sungai, tetapi mengapakah abang masih memikulnya di atas belakang badan
kamu?" Terima kasih.

dialihbahasakan oleh:
Y. K. CHIN


ARTIKEL INI UNTUK BUKAN-MUSLIM SAHAJA 

 

0 komentar: